Aug 12, 2011

Kelantan mengharapkan kemenangan atau seri di Sabah sahaja

Peluang Kelantan rangkul trofi Liga Super cerah
 TIGA mata yang diraih oleh The Red Warriors ketika menumbangkan Perak 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu kelmarin mencerahkan peluang Kelantan mengintai kejuaraan Liga Super buat kali pertama.

Ketua jurulatih, Datuk M. Karathu mengakui kemenangan tersebut cukup penting buat pasukannya untuk terus memacu kedudukan selaku peneraju liga ketika dua pencabar terdekat iaitu Selangor dan Terengganu terus memberikan tekanan.


Beliau berkata, kemenangan malam kelmarin cukup sukar untuk diraih ketika moral pemainnya masih lagi dalam proses pemulihan selepas dikecewakan seteru utama Pantai Timur, Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu.

"Peluang untuk menjuarai liga semakin hampir. Jadi ia perlu digunakan sebaik mungkin. Saya tidak mahu memikirkan nasib pasukan lain (Selangor dan Terengganu) yang sedang mengekori rapat daripada belakang.

"Apa yang penting, kita perlu berfikiran positif dan yakin Kelantan mampu menjadi juara liga buat kali pertama musim ini. Bukan senang bagi Terengganu berhadapan Felda United dan tidak mudah juga bagi Selangor menentang Perak di Ipoh," katanya.

Tambahnya, untuk perlawanan terakhir bertemu Sabah nanti, beliau yakin The Red Warriors mampu mengutip mata di Kota Kinabalu meskipun bakal berdepan laluan sukar.

Dalam perkembangan lain, pengendali berpengalaman itu memberitahu, pemainnya telah diberikan cuti rehat selama seminggu selepas mengharungi jadual perlawanan yang begitu padat sejak dua bulan lalu.

"Saya mahu pemain menikmati cuti mereka sepuas-puasnya tanpa memikirkan tentang bola sepak. Saya tiada keraguan tentang komitmen pemain kerana mereka telah berikan yang terbaik sejak dua bulan lalu," ujarnya.

Mengulas mengenai enam tonggaknya yang dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan, Karathu mengharapkan barisan pemainnya dapat memberikan aksi terbaik sepanjang berada di bawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

"Saya harap mereka tidak mengalami kecederaan, kerana sudah pasti kita akan menggunakan khidmat mereka selepas ini. Norshahrul Idlan Talaha mungkin terpaksa direhatkan selama dua minggu kerana mengalami kecederaan hamstring pada perlawanan semalam (kelmarin).

"Sebaik sahaja mereka melaporkan diri, kita akan kembali memperkemaskan pasukan termasuk mengekalkan tahap kecergasan. Kita masih ada masa dua minggu merangka persiapan pasukan bagi penentuan juara liga musim ini," katanya. METRO~

kredit to METRO 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...