Aug 12, 2011

Mohon Maaf dari Defender Daudsu...

Maafkan saya ~ Daudsu ~

KOTA BHARU - ‘Saya minta maaf’. Itu permintaan Daudsu Jamaluddin selepas hajatnya untuk mengelak gawang daripada dibolosi akhirnya bertukar bencana apabila dia tertanduk bola ke gawang sendiri, membawa kepada kekalahan 1-2 Kelantan kepada Terengganu pada final Piala FA kelmarin.

Tegas Daudsu, dia tidak berniat meletakan bola ke gawang sendiri.

Katanya, malang yang menimpanya sehingga tertanduk bola ke gawang sendiri disebabkan situasi ketika itu berlaku terlalu pantas.

Menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, katanya dia mahu menanduk bola keluar, namun nasib tidak menyebelahinya kerana bola akhirnya menggegar gol sendiri.

Jaringan tersebut memberikan Terengganu gol penyamaan dan akhirnya Penyu menang hasil jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-109.

“Saya tak ada niat (menjaringkan gol sendiri), ia berlaku dengan cepat. Masa itu saya berlari laju kerana mahu menerkam bola untuk mengelak bola daripada menggegar jaring. Saya tidak ada pilihan kecuali cuba menanduk bola tersebut keluar tetapi ia masuk ke gawang.

“Sebagai pemain, ia sesuatu yang tidak pernah anda fikir untuk terjadi dan tidak mahu ia berlaku tetapi inilah bola sepak. Saya minta maaf kepada penyokong jika mereka menganggap saya punca kekalahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambahnya, selepas Terengganu menyamakan kedudukan, moral pemain Kelantan mulai jatuh dan terpaksa melalui masa tambahan yang cukup memeritkan.

“Saya tak nafikan ada kata-kata yang kurang enak sampai ke telinga saya, tetapi saya sudah lali.

“Sebagai pemain, kami sedia menerima hakikat, popular seorang pemain kerana peminat dan jatuh juga kerana peminat,” katanya..

Jelasnya, rezeki mungkin belum berpihak Kelantan untuk menjulang Piala FA biarpun sudah dua kali beraksi di pentas final.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...