Jun 22, 2012

Muhasabah Diri Ibu Bapa


Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka." (Surah al-Tahrim ayt 66:6)





  Anak adalah amanat daripada Allah. Permata hati kita ini amat memerlukan didikan, jagaan dan pemerhatian daripada kita. Anak-anak yang maih belum baligh cukup mulia kerana mereka bersih daripada dosa.



  Ikatan kasih sayang yang wujud antara ibu bapa dan anak-anak cukup istimewa kerana ia wujud hasil daripada kasih sayang tak bersyarat. Iaitu kasih sayang yang lahir daripada lubuk hati yang tulus.
  Anak juga merupakan sebahagian ujian daripada Allah. Allah menguji kesabaran kita mendidik mereka, bersabar dengan karenah yang pelbagai seawal hari pertama anak lahir hinggalah mereka dewasa.
  Allah ingin menguji para hamba-hambaNya yang bergelar ibu bapa, adakah mereka boleh membesarkan dan mendidik anak-anak menurut ketetapan Allah. Ada ibu bapa yang mengetepikan hukum Allah demi anak-anak.

  Anak juga merupakan rahmat, anugerah yang memang diidamkan oleh setiap pasangan suami isteri. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, atau tiga orang anak saudara perempuan atau dua orang saudara perempuan, maka jika dia melayani mereka dengan baik, bersabar dengan mereka serta bertaqwa kepada Allah, nescaya akan masuk syurga." (Riwayat Ahmad daripada Abi Sa'id al-Kudri).
  Ibubapa perlu bijaksana dalam mendidik anak-anak dengan mengumpul , mendalami serta mempraktikkan segala maklumat yang sesuai untuk diterapkan dalam memantapkan sahsiah diri, lalu diterjemahkan dalam agenda mendidik anak-anak. Ini bukan satu tugas yang mudah sebaliknya memerlukan ilmu, perancangan, usaha yang jitu, kesabaran, doa dan tawakal.
  Ibu bapa yang cemerlang sentiasa memperbaiki diri sendiri dan sentiasa berusaha menjadikan dirinya lebih baik dari semasa ke semasa.
  Ibu bapa boleh dikategorikan kepada beberapa kategori seperti:
  1. Ibu bapa biasa - Kerap berleter dan berpesan kepada anak-anak tanpa memberi penjelasan sebab-musabab.
  2. Ibu bapa baik - Berpesan dan memberi nasihat kepada anak-anak dengan memberi penjelasan secara rasional.
  3. Ibu bapa cemerlang - Mendidik anak-anak melalui qudwah hasanah seperti solat berjemaah, disiplin  masa, cara pemakaian sopan, tutur kata, menghormati orang tua dan lain-lain, selaras dengan pesanan dan nasihatnya.
  4. Ibu bapa mithali - Setiap tindakan ibu bapa boleh dicontohi dan menjadi aspirasi dan meransang anak-anak untuk menjadi insan hebat.