Aug 16, 2011

Hilangnya Seri Hari Raya Dek Hiburan

Amalan berziarah sememangnya amalan yang amat dituntut oleh islam. Amalan berziarah dapat mengukuhkan ukhuwah di samping kita dapat mengambil berat tentang keadaan insan lain serta keluarga mereka terutamanya golongan fakir miskin, orang sakit atau orang yang baru meninggal dunia.

Dalam menjalani kehidupan ini, manusia dijadikan Allah untuk saling bergantung antara satu sama lain dalam usaha memenuhi keperluan fizikal, mental, emosi dan rohani. Amalan berziarah pada umumnya dapat memenuhi keperluan emosi dan rohani insan. Ketika berziarah, dengan bersalaman, bermaafan serta bertukar-tukar khabar, kita dapat berkongsi rasa lalu mampu memberikan ketenangan emosi buat diri. Amalan berziarah memberikan peluang kepada anggota masyarakat untuk saling mengenaliserta mewujudkan perpaduan di kalangan umat.


Namun kini, amalan berziarah dan berkunjung kian makin mengikis dalam sanubari terutama golongan remaja, lantaran pada hari Raya yang mulia ini banyak masa dihabiskan dengan melepak di rumah atau menonton rancangan hiburan. Sedar atau tidak, ramai di kalangan kita tidak mengenali saudara mara malah sepupu sendiri ekoran sikap kita yang ‘leka’ dalam dunia sendiri sehingga tiada masa untuk berkunjung ke rumah saudara mara. Jangan terkejut jika suatu hari nanti bakal mertua yang kita kunjungi itu sebenarnya ada kaitan saudara dengan kita! Sehubungan dengan itu, Dara.com berkesempatan menemu bual dua orang penceramah dan juga pendakwah bebas iaitu Ustaz Mohamad Zahazan Mohamed dan Ustaz Abu Hassan al Ash’ari Zakaria bagi mengulas dan mengupas berkenaan amalan berkunjung dan bermaafan yang kian menipis ekoran leka dengan hiburan.


Syawal peluang untuk berziarah

Menyuluh daripada pandangan Ustaz Zahazan mengenai isu ini, beliau merujuk kepada fi rman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua orang saudara kamu itu, dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Ayat 10, Surah al-Hujurat). Sememangnya amalan ziarah dan kunjung mengunjungi ini memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah.

“Keunikan perayaan Aidilfi tri pada bulan Syawal yang mulia ini menyediakan peluang terbaik untuk kita saling menziarahi antara satu sama lain. Ini kerana pada ketika ini proses komunikasi akan dapat berlaku dengan lebih terbuka. Situasi tersebut juga dibantu dengan perasaan kegembiraan menyambut Aidilfi tri secara kolektif di kalangan umat Islam,” katanya. Namun begitu, terdapat segelintir remaja pada hari ini yang lebih cenderung untuk menonton rancangan televisyen kegemaran, bermain permainan komputer atau melayari Internet di rumah daripada mengikut ibu bapa menziarahi sanak saudara.


Jelas Ustaz Zahazan lagi, antara punca yang menyebabkan berlakunya situasi sedemikian adalah kerana kurangnya penerapan terhadap pengamalan budaya kunjung mengunjungi. Bahkan faktor tarikan hiburan multimedia yang tersedia ada turut mempengaruhi corak aktiviti seharian anak-anak remaja, lantaran itu ada yang lebih leka dengan hiburan. Sehubungan dengan itu, asuhan dan didikan ibu bapa adalah sangat penting dalam usaha menerapkan amalan berziarah di kalangan anak-anak kerana ibu bapa adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak sepanjang tempoh pembesaran mereka.


“Pertamanya, nilai kekeluargaan dalam sesebuah keluarga itu perlu disuburkan dan kemudiannya diperluaskan kepada keluarga besar yang merangkumi datuk, nenek dan saudara mara yang lain. Selain itu ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka menziarahi kaum keluarga atau sahabat handai. Maka, ibu bapa itu sendiri secara tidak langsung perlu melaksanakan amalan berziarah agar menjadi ‘role model’ buat anak-anak. “Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik seperti memberi salam sebelum masuk, bersalaman serta bermaafan dengan tuan rumah dan sebagainya. Oleh itu, anak-anak juga dididik untuk melakukan perkara yang sama,” tokoknya lagi.


Perlu ada pengawasan

Ditanya tentang ziarah bagi golongan kanak-kanak yang lebih dianggap sebagai peluang untuk mereka mendapatkan duit raya, Ustaz Zahazan, menjelaskan ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka dari berkunjung ke rumah orang yang tidak dikenali. Akuinya, pada kala lebaran, kebanyakan tuan rumah yang beragama Islam bermurah hati untuk memberi duit raya kepada kanak-kanak yang datang berkunjung.

“Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu memikirkan soal keselamatan anak-anak mereka yang pergi berziarah kerana mereka mungkin bakal terdedah kepada risiko kemalangan, pengaruh negatif rakan sebaya atau ancaman jenayah seperti kecurian, peras ugut, rogol atau penculikan. Oleh itu pertimbangan ibu bapa untuk memberi kebenaran kepada anak-anak untuk berziarah perlu mengambil kira faktor keselamatan berkenaan,” jelasnya.


Tambahnya lagi, amalan berziarah tidak hanya terbatas untuk dilakukan dalam bulan Syawal semata-mata tetapi juga turut dituntut untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa. Manfaatnya, perpaduan di kalangan umat Islam akan sentiasa terpelihara di samping berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan dalam mendekati segenap lapisan masyarakat.


Peranan ibu bapa

Bertanyakan isu yang sama kepada Ustaz Abu Hassan al Ash’ari Zakaria, ini jawapan beliau. “Dalam hal ini saya berpendapat ibu bapa perlu bersikap tegas dan paling penting, beritahu lebih awal program yang dirancang supaya anak boleh bersedia. Mungkin ada antara anak terutama yang remaja mempunyai rancangan sendiri. Beliau tidak menafi kan generasi muda hari ini kurang berminat mengikuti ibu bapa atau ahli keluarga berkunjung ke rumah saudara mara dan penjelasan perlu diberikan supaya mereka memahami hikmah di sebalik amalan tersebut.

Hakikatnya ketika kita melaksanakan amalan berziarah, agar ia berhasil mengeratkan ukhuwah, membawa keberkatan dan kesejahteraan serta menjadi ibadah yang diterima Allah. “Inilah masa anak-anak remaja hendak mengenali siapa saudara mara; pak cik, mak cik, sepupu, nenek, datuk dan sebagainya yang sudah lama tidak berjumpa. Menziarahi akan merapatkan lagi ikatan kekeluargaan kerana ikatan yang longgar boleh menimbulkan banyak masalah,” jelasnya.





Kredits to: Majalah Dara.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...