Sep 8, 2011

Marsha AF3 bukan cuba bunuh diri


Kuala Lumpur, 8 Sept – Selepas satu laporan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini mengatakan Marsha Milan Londoh ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya akibat menelan pil berlebihan, teman rapat kepada bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini, Afeeq Abdul Rahman menafikan berita tersebut.

Dipetik daripada laman sesawang mStar, Afeeq memberitahu Marsha jatuh pengsan di kawasan kondominium yang didiaminya di Jalan Klang Lama kerana trauma akibat kemalangan yang berlaku sebelum itu, bukan disebabkan mengambil pil berlebihan seperti yang dilaporkan.
Jelasnya, "Saya masih belum mendapatkan penjelasan yang sebenar daripadanya tetapi difahamkan sebelum dia rebah, dia telah keluar membeli makanan di sebuah kedai berdekatan rumahnya dan mengalami kemalangan kecil sehingga menyebabkan dahi serta matanya mempunyai kesan lebam dan luka.

"Marsha masih boleh memandu ke rumah seperti biasa selepas insiden berkenaan. Namun selepas meletakkan kereta di kawasan parkir, dia jatuh pengsan ketika berjalan kaki ke rumahnya."
Malah Afeeq tidak menolak kebarangkalian masalah penyakit tekanan darah rendah yang dialami oleh penyanyi berasal dari Tamparuli, Sabah ini menjadi salah satu faktor dia rebah.
Afeeq turut menafikan tindakan Marsha yang dikatakan mahu membunuh diri seperti yang dilaporkan oleh akhbar tersebut.
"Laporan yang dikeluarkan ternyata salah kerana Marsha bukanlah jenis yang emosional sehingga ingin membunuh diri," ujarnya.

Penyanyi dan pelakon yang terkenal dengan imej seksi ini kini sedang menerima rawatan di wad trauma dan kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya dan masih belum bersedia menerima pelawat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...